Selamat datang Ke Blog Kami

Monday 30 April 2012

Kejatuhan Tamadun Islam : Murtad


MURTAD adalah ungkapan yang menakutkan. Tidak ada mukmin yang sebenar tidak berasa sensitif atau ketakutan apabila perkataan murtad dikaitkan dengannya. Bahkan mukmin yang sejati apabila mendengar perkataan murtad atau kufur akan menyebut dalam jiwanya, “aku pohon perlindungan dengan Allah dari itu semua.” Allah berfirman dalam surah al-Baqarah: 217: (maksudnya) dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati dalam keadaan kafir, maka mereka itu rosaklah amalan (yang baik) mereka di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).

Murtad jika menjadi satu fenomena ia akan mengancam masyarakat muslim. Jika masyarakat itu telah membentuk negara muslim, ia akan mengancam identiti negara tersebut. Maka fenomena murtad sangat berbahaya serta boleh mencetuskan perubahan identiti atau maruah sesebuah negara muslim. Dalam masyarakat hari ini, kita menangkap dan mengambil tindakan kepada penyalahgunaan dadah. Walaupun mudarat langsung itu kelihatan berlaku kepada diri individu, namun jika ia menjadi arus, ia akan mengancam identiti dan keseimbangan sesebuah masyarakat.Maka tidak hairan apabila murtad menjadi gelombang yang mengancam kestabilan maka Abu Bakar mengambil tindakan memerangi mereka. Hakikat ini tidak wajar dipertikaikan oleh seorang muslim.Hingga ke hari ini belum ada suatu usaha yang serius dijalankan bagi mengkaji dan mengenal pasti kaedah yang sesuai digunakan dalam menangani masalah pertukaran agama di kalangan masyarakat Melayu-Islam. Jika dahulu masalah pertukaran agama lebih tertumpu di kalangan masyarakat beragama Buddha dan Hindu, namun kini ia semakin menular malah mendapat tempat di kalangan masyarakat Melayu-Islam.

Kes-kes pertukaran agama sebelum ini dianggap sebagai isu yang sensitif oleh banyak pihak dan ianya tidak dibincangkan secara terbuka bahkan statistiknya juga semakin membimbangkan. Kes Lina Joy, Noraishah Bukhari, Hartina Kamarudin misalnya, telah membuka mata masyarakat Islam bahkan menimbulkan satu polemik hingga ia dibahaskan serta mendapat reaksi spontan bukan sahaja oleh golongan masyarakat Islam bahkan para ulama dan kerajaan Malaysia. Dari tahun 1999-2003 terdapat 750 permohonan pertukaran nama bukan Islam di Jabatan Pendaftaran Negara. Hanya 220 permohonan diluluskan setelah permohonan mengemukakan dokumen rasmi sama ada dari Jabatan Agama Islam Negeri atau mahkamah Syariah negeri bahawa mereka bukan lagi beragama Islam. Dari jumlah tersebut, majoriti mereka yang terlibat ialah golongan mualaf.

Amatlah pelik, bagi agama yang indah, harmoni dan dipenuhi pula dengan hujah dan alasan, tiba-tiba ada pula yang tidak puas hati dengannya dan ingin meninggalkannya. Padahal saluran penerangan Islam begitu luas dalam negara ini. Sedangkan Islam sudah sempurna. Tidak ada masalah dengan inti kandungannya. Ia agama yang mampu dicabar. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 111: (maksudnya): Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani.” Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Bawalah bukti-bukti kamu itu, jika betul kamu orang-orang yang benar.”Apa yang penting, kita mesti bina ketahanan diri dalam kefahaman umat Islam di Malaysia ini. Sejauh manakah kita hendak bertahan dengan jeritan dan bantahan terhadap orang lain, jika kita sendiri lemah. Umat Islam di negara Barat tanpa pelbagai keistimewaan seperti kita tetapi mampu menyebarkan Islam. Bahkan selepas 11 September al-Quran dilaporkan begitu laris di pasaran mereka. Mengapa kita sebaliknya?Hari ini tidak ada Abu Bakar yang mampu menolong kita. Apa yang patut kita fikirkan adalah membina ketahanan umat agar kukuh kefahamannya terhadap Islam. Pengukuhan itu tidak akan berlaku jika pihak yang menerangkan Islam itu sendiri rapuh kefahamannya dan menakutkan pula wataknya. Lebih penting isu murtad jangan dijadikan sebagai peluang untuk mempromosi diri, persatuan atau modal politik. Sebaliknya lihat ia sebagai tanggungjawab bersama yang mesti ditangani secara ilmiah, bukan sentimen.

No comments:

Post a Comment